Hijrah

Peristiwa Hijrah merupakan detik bersejarah sehingga ianya dipilih oleh syura Khalifah Umar sebagai tarikh pertama dalam kalendar Islam. Pengajaran dari peristiwa hijrah terlalu banyak dan sangat bermanfaat untuk dikenang dan diperingatkan kerana ibrahnya akan senantiasa releven sepanjang zaman.

Sesungguhnya, hijrah Nabi s.a.w adalah ke arah melakar masa depan yang lebih baik buat agama Islam. Demikianlah objektif umum hijrah yang agung dan itulah “mindset” yang perlu diadaptasi oleh individu mahupun organisasi yang ingin “berhijrah” atau memimpin satu perubahan. Sebelum kita membuat sebarang perubahan dalam diri atau masyarakat, pastikan ianya mendatangkan manfaat yang lebih daripada mudarat. Berapa ramai orang yang melakukan satu perubahan, penghijrahan atau mengambil langkah dan tindakan yang disangkanya baik tetapi akhirnya merugikan diri. Perlu diingatkan kerana langkah yang salah juga mampu mencelarukan daripada mencerahkan masa depan.

Hijrah turut mengajar umat Islam untuk bersifat sistematik. Peristiwa persediaan hijrah jelas menunjukkan kesungguhan Nabi dan para sahabat untuk memastikan penghijrahan itu satu kejayaan. Setelah berusaha untuk bersiap siaga, akhirnya barulah bergantung kepada Allah Taala. Fa iza azamta fatawakkal ‘ala-Allah Oleh itu, sikap “hentam kromo” dalam membuat sesuatu patut dikeluarkan daripada kamus umat Islam masa kini dan akan datang. Kita mestilah lebih tersusun, berstrategi, memahami sunnatullah dan konsikuennya, bukan mengambil risiko secara membuta dan mengharap Allah melapangkan jalan kita di atas kepasrahan kita, sedang usaha kita yang lekeh dan terlalu berserah.

Wahai para belia Islam, setiap tahun sewajarnya kita lebih baik. Semoga kita meletakkan azam untuk membaiki diri lagi pada tahun ini. Usah takut kegagalan, kerana bersama kesusahan itu ada kesenangan, seperti firman Allah yang bermaksud
“Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan” (Al-Insyirah:5). 
Salam Hijrah 1433!

Posted with WordPress for BlackBerry.

Priority Berkumpulan

Seorang yang aktif dalam amal dakwah akan mempunyai jadual hidup yang padat sebagai seorang individu. Apabila aktivis ini berkeluarga, dia akan turut mengheret keluarganya dalam kesibukan sama seperti yang dialaminya.

Kalau dalam keadaan bujang dia wajib beramal mengikut keutamaan, maka setelah berkeluarga, seluruh aktiviti keluarga perlu dirancang mengikut keutamaan. Pendek kata, priority disusun secara berkumpulan bersama isteri dan juga anak-anak.

Tidak ada sesiapa yang mampu melakukan semua perkara dengan sempurna. Mat Saleh kata “win some lose some”.

Suami ada hak, isteri pun ada hak, bahkan anak-anak pun ada hak. Namun apabila kita mahu mengejar suatu matlamat dalam amal dakwah malah kerjaya, maka ada sebahagian hak yang perlu dikorbankan. Inilah namanya pengorbanan dalam rumahtangga.

Manis sesuatu itu apabila dicapai dengan bersusah-payah dan pengorbanan. Maka susunlah keutamaan anda secara berkumpulan. Komunikasi yang baik sesama pasangan akan memudahkan pengorbanan ini berlaku.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Belia Penjana Transformasi

Transformasi atau perubahan bermaksud suatu anjakan dari takuk lama ke posisi yang baru. Perubahan menjadi suatu perkataan yang lazim disebut oleh masyarakat dunia ketika ini, yang kehangatannya bermula sejak Barack Obama menjadi Presiden Amerika dengan slogan “Change We Need”. Slogan perubahan kemudiannya menjadi ibarat lirik lagu yang lazim dinyanyikan oleh golongan belia di seluruh dunia. Tidak dapat tidak, belia merupakan ejen transformasi sejak sekian lama. Sejarah membuktikan, Revolusi Perancis menjatuhkan King Louis telah dipacu oleh golongan belia, dan siri-siri revolusi di timur tengah baru-baru ini juga digerakkan oleh golongan yang sama. Juga sejarah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan juga melalui tangan-tangan belia seperti Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi dan ramai lagi pejuang-pejuang yang lain. Jelas difahami di sini bahawa belia merupakan agen perubahan yang hakiki, pada setiap zaman dan di setiap pelusuk dunia. Persoalannya, adakah perubahan-perubahan ini pasti membawa kebaikan? ‘Belia Pemangkin Transformasi’ merupakan tema Hari Belia Negara 2011. Ungkapan ini merupakan ungkapan yang tepat dengan kedudukan belia sebagai nadi perubahan Malaysia seperti mana yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-10 bertemakan ‘Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi dan Maju’ Dari aspek kemampuan mental & fizikal, belia Malaysia sebenarnya mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan dunia sejak dahulu dan sekarang. Syeikh Idris al-Marbawi, Prof Ismawi Zen, Safee Sali, Azizulhasni Awang adalah sebahagian sahaja dari nama-nama yang membuktikan kemampuan negara. Tepat untuk kita katakan bahawa perancangan kerajaan beserta usaha gigih yang datang dari inisiatif belia kita telah mampu melahirkan tokoh-tokoh hebat bertaraf dunia. Perlu kita sedari bahawasanya, dalam era globalisasi ini, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran semasa atau setelah kita mencapai status negara maju. Antara cabaran yang utama ialah untuk kita membina dasar yang kukuh yang mendokong kekuatan sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Hakikatnya, dasar kepada kekuatan negara terletak kepada jatidiri dan nilai akhlak setiap individu. Alexis Carrell, seorang pemenang hadiah Nobel dari Perancis menyedari hakikat ini sejak tahun 1935 apabila beliau menyatakan bahawa “Pada negara masa kini sedikit sekali kita menyaksikan orang-orang yang menjadikan akhlak mulia sebagai teladan. Padahal, kedudukan akhlak lebih tinggi dari ilmu dan keahlian. Akhlak merupakan dasar peradaban”. Barat telah lama menyedari hakikat ini dan mula berusaha untuk menyemaikan nilai-nilai moral ini ke dalam kehidupan masing-masing. Lihatlah sahaja filem-filem mereka, semakin banyak filem yang mula menerapkan nilai-nilai moral, akhlak mengikut neraca mereka demi memastikan peradaban yang mereka bina tidak dirosakkan oleh sifat rakus manusia. Seandainya nilai ini tidak dijadikan asas dalam ketamadunan, akhirnya sebuah negara maju akan gagal dimamah kefasadan dari tangan-tangan rakyatnya sendiri. Finland adalah sebuah Negara berpendapatan tinggi namun Finland juga adalah Negara yang ketiga tertinggi dalam kadar jenayah. Kekayaan yang diraih akan menjadi modal pusingan untuk membayar semula kerosakan-kerosakan yang dibuat oleh pembina tamadun iaitu rakyat mereka sendiri. Ini adalah harga yang cukup tinggi untuk kita bayar seandainya kita tidak berhati-hati dalam aspek pembinaan akhlak. Islam telah pun menggariskan akhlak sebagai paksi perubahan apabila Nabi s.a.w bersabda “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak” dan firman Allah SWT “Sesungguhnya aku tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu”(ar-Ra’du:11). Demi mengekalkan momentum kemajuan, belia harus berwawasan, kreatif & inovatif, serta dilengkapi dengan ilmu yang cukup. Konsep K-Ekonomi yang diperkenalkan kerajaan jelas mengajak rakyat Malaysia untuk kekal berdaya saing dengan ilmu yang penuh di dada. Jatidiri belia perlu sentiasa dipupuk, kerana bangsa yang kalah ialah bangsa yang tidak mempunyai kebanggaan terhadap tanahairnya. Mencedok mutiara berharga dari benua lain tiada salahnya, namun tidak sehingga kita menafikan kekuatan bangsa kita sendiri lantas menjadi ‘pak turut’ yang sentiasa memandang positif kepada bangsa lain dan konsisten menghina bangsa sendiri. Berbanggalah dengan agama dan bangsa yang telah menjadi teras dalam perubahan sejak sekian lama, kerana inilah yang akan mengekalkan kekuatan Malaysia dalam menongkah arus globalisasi yang cukup mudah mencairkan jatidiri. Selamat Hari Belia, semoga kita terus meledakkan potensi diri di segenap aspek yang kita mampu dan minati kearah sebuah transformasi yang utuh.

Bible Melayu & Tuntuan Non-Muslim

Ada yang bersetuju bahawa Bible sesuai dalam Bahasa Melayu, ada yang tidak setuju. Perdebatan ilmiah nampak merata-rata, masing-masing memberi dalil syar’ie dan logik untuk membolehkan atau menghalang penerbitan Bible Melayu.

Salah satu disiplin dalam memberi fatwa ialah fatwa mesti bersifat waqi’e iaitu spesifik kepada permasalahan setempat. Saya melihat banyak hujah ilmiah yang bersifat umum yang tidak sesuai dijadikan sandaran kerana ianya bukan menjurus kepada masalah yang dibincangkan. Hujah umum, pada pandangan saya, hanyalah menunjukkan sikap umat islam yang suka mengambil mudah dalam mempertimbangkan sesuatu isu atas alasan ‘Islam itu mudah’ dan ‘islam itu flexible’.

Dalam segenap permasalahan hidup, kita boleh dilanda musibah seandainya kita mengambil mudah sesuatu. Rumah boleh terbakar seandainya 1 suis alat elektrik sahaja tidak ditutup, jambatan boleh roboh kerana tersilap 1 kiraan, dan seumpamanya. Seandainya kita cukup berkira waktu berbuka puasa dan takut nak berbuka puasa pada 726pm sedangkan dalam taqwim 727pm masakan kita tak kata ‘islam itu flexible’ dalam hal tersebut?

Dalam isu Bible ini, yang kita patut lihat bukan sekadar permasalahan boleh atau tidak Bible dalam bahasa Melayu, tetap boleh atau tidak Bible dalam Bahasa Melayu di Malaysia digunakan oleh kristian yang telah melakukan siri-siri tuntutan hak yang mencurigakan seperti IFC, minta buang agama dari IC, kalimah Allah dan statistik kes murtad muslim yang tinggi. Semua ini mesti diambil kira dalam menentukan tindakan. Malaysia ini negara org islam dan majoriti beragama islam. Islam juga agama rasmi maka sewajarnya kerajaan melindungi keselamatan orang islam.

Allah dah berpesan kepada kita “Tidak akan redha Yahudi dan Nasrani itu sehingga kamu mengikut agama mereka” (al-Baqarah). Sebenarnya sikap berhati-hati dari awal patut kita ambil kepada golongan Kristian seandainya kita muslim yang membaca Quran dan memahami maksud ayat ini.

Kalau kita nak kata mengada-ngada untuk buat laporan polis itu terpulanglah, namun Quran dah pesan kepada kita untuk ambil sikap hati-hati. Dalam kes ini Bible bukan lagi dihalang, malah dibenarkan dicetak dengan tambahan cop KDN. Itu pun Kristian nak demand lebih lagi, apa yang mereka mahukan sebenarnya?

Jalan Juang

Satu perkembangan tanahair yang menggembirakan hati saya kini ialah apabila semakin ramai pemuda yang cenderung kepada islam, baik dari sudut pengamalan islam secara peribadi mahupun dalam aspek menyebarkan dakwahnya.

Ini adalah suatu fenomena yang cukup sihat, sesuai dengan seruan Allah s.w.t untuk fastabiqul khairat. Oleh itu saya rasa pemuda yang tidak melibatkan diri dalam kegiatan islami nampak agak tidak mengikuti trend semasa. Pendakwah bukanlah satu posisi yang kolot dalam suasana masyarakat terkini.

Bagus untuk kita juga memahami hakikat bahawa setiap satu usaha itu pasti akan ada ruang pembaikan. Ruang pembaikan yang saya lihat perlu dalam keghairahan pemuda berdakwah ialah untuk memastikan tindakan-tindakan mereka itu sejajar dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Bunyinya agak klasik dan ‘skema’, namun itulah hakikat yang sebenarnya. Islam menuntut kita agar sentiasa mencari yang paling afdhal dan yang paling dekat dgn sunnah Nabi s.a.w. Andai dalam solat kita cukup terperinci dari aspek rukuknya, sujudnya dan bacaan-bacaannya, masakan kita tidak teliti dalam amal dakwah?

Nasihat dari saya yang kerdil ini, ialah agar kita semua bersikap rasional dan objective-oriented dalam segala gerak kerja. Kematangan akan lahir dari minda yang terbuka dan sikap suka bermuzakarah. Setiap gerakan islam ada ijtihadnya tersendiri, dan kekuatan amal islami akan datang dari kemampuan untuk bekerjasama dalam aspek-aspek yang disepakati.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.